"my world inside is way more amazing than the outside. that's the reason i choose to write."

29 May 2015

KUN!

credit photo

         Anis mimpi lagi. mimpikan arwah Filzah yang kelihatan marah padanya. entah kenapa. padahal si dia muncul dalam senyum. membawa Anis kembali mengingati momen-momen mereka sepanjang persekolahan dulu, dari Tingkatan Satu hinggalah Tingkatan Lima. ya, Filzah itu rakan sepasukan Anis yang paling baik yang dia pernah ada.

          Anis tersedar. Jam menunjukkan pukul 6:49 petang. bila-bila sahaja waktuu Maghrib akan masuk. 'Allah, Asar tak solat lagi ni!' Lantas Anis bergegas ke bilik air, mengambil wudhu lalu membentangkan sejadah menghadap kiblat. 

       Usai solat, Al-Quran kecil di atas rak dicapai. Jari automatik membelek muka surat yang perlu dibaca seterusnya. Rindu menggamit. Sudah berapa lama Al-Quran itu tidak dibuka, lantaran tertinggal di masjid tanpa sengaja. Yang pada akhirnya Al-Quran itu diambil rakan, namun tetap dalam simpanannya sehinggalah baru-baru ini, Anis sendiri terpaksa 'menyelongkar' rak buku sang rakan untuk mengambil buku kecil itu memandangkan sang rakan pulang ke kampung menguruskan jenazah arwah atuknya.

         Sungguh, ramai yang pergi menghadap Allah sejak kebelakangan ini. Sebak bertandang tiba-tiba, tatkala hati terdetik memohon keampunan. Tatkala hati cuba mengimbas setakat mana amalannya ikhlas betul-betul kerana Allah. Entahkan dikira, entahkan tidak.

        Azan berkumandang dari speaker laptop. menandakan Maghrib sudah pun masuk waktu. Sakit kepala dari siang tadi masih tidak hilang. Tanda-tanda bakal demam lagi. Malas sungguh hendak ke klinik , dua hari lepas baru je pergi. Oleh kerana sakit kepala yang masih tak surut dari semalam itulah, kuliah Software Engineering dan Artificial Intelligence hari ini burn begitu saja. 

       Dalam keadaan yang masih bertelekung, Anis bangun mendirikan solat tiga rakaat itu. Walau semakin lama, berat di kepala semakin membebankan. 

       'Tabahlah Anis, kau sedang jumpa Tuhan.'

       Dada merasa sebu kembali.

        Ya, aku sedang berjumpa Tuhan. Tapi kenapa diri ini masih merasa kosong? Mengapa setiap kali aku cuba menegakkan solat, akal fikiranku selalu melayang entah ke mana? Di mana letaknya khusyukku tatkala bertemu Dia? Ikhlaskah aku sebenarnya?

       Panas di tubir mata tidak dapat dibendung lagi. Akhirnya tumpah juga di tikar sejadah berwarna maroon itu. Dia malu. Malu, bila mana mengingatkan kealpaannya. Entah lah, mungkin bebanan sakit kepala sejak dua menjak ini yang membuatkannya lebih beremosi daripada biasa. Senang sungguh  air matanya jatuh.

        Usai solat, Anis berteleku. Sambil menahan denyut di kepala. Sungguh, badannya lemah. Terasa ingin tidur lagi. Namun memikirkan Isyak yang belum masuk, dicuba sekuat hati menahan. Tidak dapat tidak, dia akhirnya mengalah. 

       'Tuhan, kasihanilah hambaMu. Jangan diambil nyawanya sebelum selesai tugasku kepadaMu.' Doanya dalam diam. 

        Dia sedar, solat itu bukan hanya kerana mengikut perintah Ilah, tapi juga kerana tanda syukurnya kepada Tuhan Pemberi Rahmah. Tanda syukur, kerana Dia masih sudi memandangnya yang tiada daya, yang masih lagi terpalit dengan dosa yang terulang, sedar atau tidak.



 "Kejar la weii! Jangan tunggu bola!" 

        "Kalau dah tahu bola rendah, dig la pandai! Nak pergi rejam buat apa!" 

        Skreeettt! 

        "Take five!"

        Botol mineral di tepi gelanggang dicapai, diteguk rakus menghilangkan dahaga. Lelehan air yang tumpah di bibir mulut tidak dihirau. Penat. Tuala pula dicapai mengesat renik-renik peluh di dahi.

         "Rasa macam kena latih budak-budak ni dari awal balik. Sumpah macam ‘taik’ je main!" Anis melepaskan geram yang berbuku. Filzah mengangguk mengiyakan. Pandangan dilepas pada gelanggang yang kosong. Budak-budak ni la.. Pantang bagi break sekejap terus hilang. Tak ada rasa nak praktis sendiri langsung. Bola ligat berpusing di atas jari sebelum dilantun kembali ke tanah.

            Digging adalah teknik paling asas dalam sukan bola tampar. Teknik ini penting dalam mengawal dan mengambil bola rendah. Oleh kerana ia adalah teknik paling asas dan ‘hambar’, ramai pemain tutup mata akan kepentingannya. Analoginya, manakan kukuh sesuatu permainan jika ‘tapak’nya diabaikan.

            Wisel yang tergantung di leher diletakkan di bibir. Nyaring wisel ditiup, menyeru pemain-pemain berkumpul di tengah gelanggang kembali. Rehat sudah tamat. Anis berdiri di tengah-tengah bulatan sebelum melontarkan arahan.

            “Mulai hari ni, kita buat latihan digging saja sampai satu masa yang ditetapkan. Pemilihan team baru akan dibuat berdasarkan digger terbaik.”

            Bisik-bisik liar kedengaran. Anis terasa panas sebelum bahu ditepuk perlahan tiba-tiba. “We did this for our team. Not for us.” Tegas Filzah menyambung, mematikan terus bisikan-bisikan itu tadi. Anis memandang rakannya itu dari hujung mata, sebelum melemparkan senyum, tanda terima kasih.

            “Kita pecahkan kepada kumpulan kecil. Satu kumpulan tiga orang. Cuba digging tanpa jatuhkan bola semaksimum mungkin. Dan… jangan tinggal punggung.”

         Istilah ‘tinggal punggung’ itu maksudnya tidak tertonggek-tonggek ketika cuba menangkap bola. Dalam banyak permainan, kesalahan ini sangat selalu dilakukan oleh para pemain secara tidak sengaja. Lebih-lebih lagi pemain-pemain baru. Sepatutnya, seluruh badan perlulah bergerak serentak, bukan tangan saja yang sibuk untuk menyambut bola. Faedahnya, gerakan pemain akan menjadi lebih ringan dan pantas. Selain daripada cara bola itu sampai kepada pemain lain dengan lebih cantik dan kemas.



Gegaran telefon di sebelah menyedarkan Anis. Terpisat-pisat dia membaca nama pemanggil di skrin. Kenangan bersama arwah Filzah terbawa-bawa hingga masuk ke dalam mimpi lagi.

“Waalaikumussalam. Ya Kak Sab, ada apa?”

“Dah, dah makan tadi siang. Minta maaf tak balas mesej akak, kredit saya habis. Lagipun sakit kepala saya tak hilang lagi, tu yang tak larat tu..” Tangan kanan mengurut pelipis. Cuba melegakan sakit yang makin mencengkam. Teringat solat Isyak yang masih belum terlunas.

“Tak apa lah, Kak Sab.. sakit kepala je pun.. Akak siapkanlah kerja-kerja akak dulu. Esok lusa sihat lah ni..” Senyum hambar terukir, walau dia tahu seniornya di sebelah sana tidak mungkin akan nampak reaksi itu. Air liur ditelan. Pahit. Menahan pandangan yang semakin berpinar.

“Akak, saya minta maaf. Saya…”

“Hello? Anis?? Anis!”



Cahaya pendaflour putih menyedarkan Anis. Automatik lengan menahan silau.

             “Ouch!

        Sabrina tersedar dari lelap. Dilemparkan senyum pada Anis di sebelah, sebelum menekan butang di birai katil memanggil doktor yang bertugas. Mata Anis jatuh pada tangannya yang disambung dengan water dripper, sebelum menala kembali pada Sabrina. Kosong.

“Anis ada kat hospital sekarang. Bimbang juga akak, mujurlah awak pengsan masa kita tengah sembang lagi. Terus akak datang serbu bilik lepas tu.” Sabrina gelak. Cuba memeriahkan suasana. Anis mengukir senyum nipis. Tampak jelas riak di wajahnya yang pucat tak bermaya.

            Tidak lama, wanita berkot putih bersih menghampiri berserta seorang lagi pengikut di belakangnya. Suhu badan Anis diperiksa. Masih lagi tinggi. 

            "Saya dapat tahu Cik Anis memang ada sejarah kerap pengsan ya? Boleh saya tahu Cik Anis ada jalani pemeriksaan kesihatan di mana-mana sebelum ni? "

            "Tak ada, doktor. Yang selalu pengsan tu mungkin sebab penat je. Saya selalu tak cukup rehat sebenarnya. Sebab tu la.." Anis menjawab, jujur. Fenomena biasa baginya seorang pelajar, tidur lewat malam semata-mata ingin menyiapkan tugasan. Walau realitinya, cara itu sangat tidak sesuai sekali. Mengapa tidak tidur awal kemudian bangun awal pula?


               " Hmm... Cik Anis pengsan terlalu lama tadi. Jadi pihak kami ambil darah cik untuk diuji. Sekarang pihak kami sedang tunggu keputusan ujian tu untuk cuba kenalpasti masalah Cik Anis." Doktor muda itu senyum. Sebelum meminta izin untuk beredar kepada pesakit lain pula.

           Jam menunjukkan jarum empat. Namun suasana di Wad Kecemasan itu seperti masih siang. Kakitangan-kakitangan hospital masih lagi ke sana ke mari melayan kerenah para pesakit. Anis sudahpun dipindahkan ke Zon Kuning selepas rawatan ECG tadi, ditemani Sabrina yang masih lagi setia di sisi. 

               " Kak Sab, boleh teman saya ke tandas? Saya tak solat Isyak lagi.." Anis menapak turun dari katil dibantu oleh Sabrina. Water dripper ditolak mengikut rentak jalan Anis.

                    Sakit itu kafarah (penghapus) dosa kata orang. Tapi sakit itu juga sebenarnya ujian. Ujian untuk dirikan solat, menghadap Dia.  Iyalah, sedangkan pabila penat bekerja pun kita sudah merasa berat untuk menjalankan amanah yang satu ini, apatah lagi apabila diri dalam keadaan sakit dan tidak bermaya. Kecilnya diri, di kala masih dalam kesempurnaan tetap lagi alpa dan jauh dari-Nya. Sedangkan yang lelah dan kurang upaya tetap teguh dan setia bersama-Nya. 

                   Allah penyalur segala kekuatan, Sabrina.. Monolog hati. Keluhan dilepas tanpa sedar. Perlahan. 


"Cik Anis Adina? Keputusan ujian darah cik sudah pun kami dapat. Saya minta maaf, tapi kami dapati ..."

            Anis telan liur. Cuba menghadam berita setulusnya. Dadanya sakit. Perit. Tidak dapat tidak rasa yang ditahan terhambur jua. Berat, sedaya dipujuk hati. Jangan menolak takdir Tuhan. Dia Maha Tahu. Dia Maha Faham. Bahu dipeluk Sabrina, memberi kekuatan dalam diam. Dia bukan keseorangan. 

               Siapa sangka, ayam tambatan sekolah dahulu kini hilang tajinya. 
               Siapa sangka, yang sihat yang cergas itu, sekejap saja ditarik nikmat sihatnya. 
               
               Bersyukurlah, itu tanda kamu dalam perhatian Dia, Anis.. 


"Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan mengatakan : 'kami telah beriman', sedangkan mereka belum diuji? "(Al-Ankabut: 2-3)

No comments:

Post a Comment