"my world inside is way more amazing than the outside. that's the reason i choose to write."

02 September 2015

[EPILOG] DIA, ADAMANTIUM

 Empat minggu sebelum…

“Mak, tiket balik Raya Haji dah habis ! Huhuhu.. Macam mana ni..?” Nuha merengek sebaik saja talian di sebelah diangkat.

“Tiket balik Kelantan pun sudah sold out jugakah?” Sang ibu bertanya.

“Haah.. Huhuhu. Orang nak balik..”

“Hmmm. Kalau tiket dah habis, nak buat macam mana lagi. Tumpang je la rumah siapa-siapa beraya..” Mak bercanda dalam serius. Nuha diam sekejap. Mak ni memanglah.. Langsung tak kisah orang balik kampung ke tak. Grr!

“Ermm.. mak. Kak Ma’wa ajak kita balik rumah dia raya haji ni. Dia nak ajak jalan-jalan kat Johor. What say you?” Nuha teringat ajakan seniornya tidak lama dulu. Tawaran masih dibuka, katanya Kak Ma’wa. Bersungguh benar dia menjemput.

“Kalau orang dah ajak, pergilah.. Kalau kamu balik pun bukannya rajin menolong. Lagi menyusahkan nak kena buat lauk asing !” Terdengar tawa kecil dari hujung sana.

Aduh.. kenapa sakit sangat dada aku ni mak!




Rezeki orang yang alah daging merah, beginilah. Sepatutnya Raya Haji di Pantai Timur itu meriah amat, namun apakan daya terbantut dengan alahnya itu, dia terpaksa ‘berpuasa’ seminggu. Sebelum reda bahang Aidiladha. Rutin tahunan Nuha.



Tiga minggu sebelum...

‘Balik Sarawak tak nanti?’

‘Tak, I balik rumah Azrin..’ Pena merah jambu basah berlari di atas kertas tisu itu. Membalas ‘surat’ orang sebelah. Kapt (B) Prof. Madya Syed Nasir Al-Sagoff masih dengan kuliah Keselamatan Komputer-nya di hadapan.  Rainnie menyua kembali tisu tadi kepada Nuha.

“Amboi..!” Nuha berbisik, ditolak siku Rainnie perlahan. Mengusik. Rainnie sengih. Kaca mata berbingkai ditolak naik ke hidung.

“I ada tanya kawan Chinese I yang dah revert sebelum ni. Dia sekarang buat preparation nak pergi Aussie [Australia], insyaAllah..” Nuha jeda. Sesekali mata menala ke slide kuliah di hadapan. Gamat ketawa rakan-rakan sekelas tidak diendah. Rainnie mengalih fokus pada teman di sebelah.

“..Then?

“Kami kenal sebab sama-sama manage page Studio Bdouin.com, cuma Ze Kai ni handle yang Chinese punya.” Sengaja dilengah ceritanya, menunggu reaksi sebenar Rainnie. Nuha tahu dia sebenarnya teruja.

Shoot, Nuha!” Rainnie berbisik, kuat. Tawa kecil terlepas.

“Nanti break I cerita.”



“Katanya Ze Kai, kat Bandar Tun Razak ada satu Hidayah Centre; pusat permulaan untuk reverted muslims. You boleh la pergi sana dulu kalau nak belajar apa yang patut, tak semestinya you pergi sana you revert terus,” Nuha membuka cerita. Tangan mengacau-ngacau batang penghirup minuman sebelum dihirup perlahan.

“Macam mana nak pergi sana?” Rainnie laju menembak soalan.

“Naik LRT pun boleh. Budak tu sudi tunjukkan jalan bila you dah betul-betul sedia. InsyaAllah taka da aral, I pun boleh temankan you sekali.” Nuha senyum. Dia faham gelisah hati sahatnya yang seorang itu. Antara kehendak jiwa dengan kebenaran ibu bapa; dia mati kutu. Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Tangan Rainnie ditarik perlahan sebelum diusap.

Take your times, Rainnie. Doa banyak-banyak. Allah sedang dengar kata hati you..” Tepat mata Rainnie menikam anak mata Nuha. Sebelum dia menunduk menyuap sosejnya semula.

“Entahlah.. ikutkan hati I, nak je I masuk Islam sekarang. Tapi I nak parent I saksikan sendiri pengislaman I..” Nafas berat terlepas.

“Dah la.. cepat-cepat makan. Kelas dah nak mula !”



Dua minggu sebelum…

Bunyi pop-up message di tetingkap Muka Buku menarik perhatian Nuha.

+       ‘You free tak weekend ni? I rasa nak pergi tengok la pusat tu..’
-                 ‘Ala.. I ada program. Huhuhu.  Ze Kai pun tak free weekend ni.’
+       ‘Tak apa la.. Nanti  I ajak kawan yang I cerita kat you sebelum ni. Ni rahsia kita tau!’
-                 ‘okay, just let me know if you need me. ;] ‘
+       ‘yes, maam.’

Tidak lama kemudian, mesej pop-up lagi.

+      ‘I nak masuk Islam terus la weekend ni..’
-               ‘Rainnie....?’

Air mata sudah menitis tanpa sempat diseka. Subhanallah! Betulkah?

-                Are you really serious? Dah betul-betul bersedia?
+      Insya Allah.. Tapi I nervous . I nak you teman.. Nuha.. ‘
-               I minta maaf, Rainnie. I tak dapat join. Ruginya.. hukhukhuk. :’[  Rainnie, I bukan nak halang you, but I already faced the same situation before; just slightly different sebab dia bukan dari golongan kita. Rainnie, you betul-betul dah bersedia ke dengan persepsi masyarakat sebangsa you?’
+     I tak tahu.. I memang nak parents I jadi saksi.. Tapi I takut tak sempat nak rasa betul-betul    nikmat masuk Islam.

Sebak lagi. Ya Allah… Apa yang perlu aku ungkapkan lagi? Jalan dan pendiriannya lagi teguh dariku, Tuhan.. Aku malu.

-              Kalau itu apa yang you pilih, insyaAllah Allah akan jaga dan mudahkan urusan you, Rainnie.. Yakin. :’]
+     Insya-Allah.. :]

Hari itu telah tiba. Gempar apabila Rainnie mula memakai tudung secara terbuka. Tidak lepas kawan-kawan dan senior-seniornya mengucapkan selamat datang dan tahniah kepadanya. Bukanlah bermakna dia tidak langsung ditentang hebat oleh kaum seagamanya. Tetapi apa yang Nuha tahu, semangat Rainnie menjadi lebih kuat dengan sokongan-sokongan kawan-kawannya yang lain.

Nuha tersenyum sendiri. Jauh di sudut hati, dia bangga. Biarlah kisah sebenar di sebalik pengislaman Rainnie itu sepenuhnya menjadi rahsia antara mereka berdua saja. Tangan menarik dua helai tudung Aidijuma dari beg plastik ungu-putih. Sudah terniat mahu diberi kepada Rainnie dan sahabatnya yang seorang lagi itu. Moga-moga ada keberkatannya di mana-mana.





Seminggu sebelum…

Minggu itu Nuha sakit teruk. Berhari-hari dia tidak menghadiri kuliah lantaran masalah kesihatannya. Sesekali Rainnie bertanyakan khabar namun tidak diceritakan sepenuhnya oleh Nuha. Dia tidak mahu sahabatnya itu risau. Lagi pula, dia sendiri susah untuk menerangkan perihal kesihatannya itu, memandangkan masih lagi di bawah pemeriksaan doktor.

Petang itu, Rainnie menziarahi Nuha. Dibawa sekali dengan tutorial-tutorial dan assignments. Diberitahu juga topik-topik subjek yang telah dipelajari di dalam kelas sebelum ini. Mereka tidak bersembang banyak, Rainnie singgah sebentar saja. Dia perlu bergegas ke perbarisan sukan selepas itu.

Sempat Rainnie selitkan nota kecil ke dalam genggaman Nuha. Main-main.

Nuha terharu. Rainnie langsung tidak bertanyakan hal kesihatannya; bukan kerana dia tidak cakna tetapi kerana dia hormat akan privasi Nuha. Nuha sendiri yang memilih untuk tidak menceritakannya. Dia sudah faham akan perangai sahabatnya itu; selagi tidak dibuka sendiri ceritanya selagi itu janganlah kerap menyoal. Pasti ada sebab dia memilih untuk terus diam.

Sejak itu, setiap hari Nuha melemparkan rasa hatinya ke atas kertas pelekat. Dilipat-lipat kertas-kertas itu menjadi saiz yang kecil dan dimasukkan ke dalam botol kaca. Seperti bercinta saja gayanya!

Ya, dia memang sedang bercinta. Dia cinta akan Rainnie !

Nuha bukanlah mudah-mudah saja ‘membuat’ kawan. Walau luarnya kelihatan mesra dengan semua, hakikatnya berapa kerat saja yang betul-betul dia definisikan sebagai kawan. Kata lainnya; mereka yang boleh diharap. Mereka yang boleh dipercayai. Mereka yang boleh bersama dalam tiap-tiap susahnya.

Itu definisi kawan buat Nuha.

‘Botol kaca ini, sebaik saja penuh akan ku berikan kepada Rainnie. Biar dia baca satu persatu isinya. Biar dia tahu, sungguh aku sayang kepadanya!’

Hati Nuha puas. Tidak sabar dia menunggu detik itu tiba.




Cuti sempena Aidiladha bermula.

Nuha kalut mengemas barang-arang keperluan sepanjang backpacking trip-nya ke Johor. Sambil dia menarik keluar jubahnya, tiba-tiba..

Prangg !

Botol kaca minyak panas pemberian arwah atuk kesayangan Nuha jatuh betul-betul di hujung kaki. Pecah berderai. Nuha terjeda. Pelik. Padahal botol itu tidaklah tinggi mana dari lantai. Jika dikira logik akal, botol itu tidak sepatutnnya pecah.

Dia sedikit resah.

‘Ya Allah, jauhilah perkara- perkara buruk dariku. Tenangkan hatiku..’

Nuha tidak sempat bertemu Rainnie lantaran waktunya bertolak ke Johor sudah mendekat. Kalut dia menggalas beg menuju keluar dari universiti. Hanya salam dititip buat Rainnie melalui teman sebiliknya. Dititipkan juga doa buat Rainnie dalam diam, moga-moga selamat semuanya.

Sampai saja di terminal bas, Nuha menelefon Kak Ma’wa. Dalam dua jam menunggu barulah kelihatan kelibat seniornya itu. Waktu itu sudah pun mencecah satu pagi. Keadaan yang sunyi di terminal buat deria Nuha lebih peka dari biasa. Hampir dipukul juga Kak Ma’wa awalnya kerana mengejutkan Nuha dari belakang.

Tiba di rumah, Nuha bersembang sebentar dengan keluarga Kak Ma’wa; berkenal-kenalan.

“Eh, jemputlah makan. Tadi pun mak cik dah belikan tomyam, boleh lah makan sekali dengan Ma’wa ni ha..”

“Err.. tak apa mak cik. Lagi pun dah lewat sangat ni nak makan,” Nuha cuba berbahasa. Dia masih lagi segan sebenarnya. Kak Ma’wa terus saja menyua nasi sepinggan beserta lauk. Tidak dapat tidak, Nuha menelan saja. Asyik Mak Cik bercerita, sesekali disampuk dek Kak Ma’wa. Nuha lebih banyak ketawa dan mendengar.

Usai makan, perlahan kerusi ditolak keluar seelum kaki menapak ke sinki. Dicucinya pinggan-mangkuk yang ada. Walau sudah dilarang oleh Mak Cik namun dia berdegil juga. Adat menumpang di rumah orang, walaupun malas rajin-rajinkanlah diri. Leih-lebih lagi kamu itu anak dara. Pesan nenek dulu dipasak kuat-kuat dalam hati.

Prangg!

Pinggan yang sudah elok terletak di rak jatuh. Nuha terkejut. Refleks kakinya melompat menjauhi. Dia terfikir lagi. Sudah ku pastikan letak duduk pinggan itu kukuh, bagaimana boleh jatuh?
Dari posisi lainnya, dia sudah naik malu. Baru saja sampai di rumah orang sudah berbuat onar. 

Aduhai anak dara !

Kak Ma’wa melarangnya mendekati sinki itu lagi. Biarlah aku saja yang kemas. Kau tetamu aku, sehari dua ini sepatutnya aku layan kau macam raja! Canda Kak Ma’wa. Tidak sampai hati, Nuha menunggu saja Kak Ma’wa sehinggalah dia sudah mengemas. Sebelum sama-sama menjauhi dapur menuju ke kamar.

Selamat malam, Johor.




9 Zulhijjah ; Hari Arafah

“Nuha, bangun Nuha..” Perlahan mata dicelik. Lengan menahan silau lampu Kalimantan. Sejenak muncul wajah Kak Ma’wa di sebelahnya. Jam menunjukkan jarum sembilan.

“Nuha, Rainnie meninggal eh?” Laju Kak Ma’wa bertanya.

Mamai, Nuha menggeleng. Dibetulkan belikatnya, tidak ambil kisah dengan persoalan tadi.

“Aku baru baca dalam grup Whatsapp, Rainnie kemalangan.  Meninggal kat tempat kejadian.” Satu persatu patah kata Kak Ma’wa dicerna Nuha. Terus dia mencapai laptopnya, membuka aplikasi Telegram. Lalu dibaca mesej-mesej yang ada untuk kepastian.

Nuha terduduk. Tanpa dirinya sedar, dia sudah teresak. Kuat. Ya Allah… ya Allah.. Aku tak percaya. Ini sekadar lawak saja, kan?

“Kau nak pergi melawat? Kak Umi dan kak Azrin dah dalam perjalanan ke hospital sekarang; dari Melaka. Aku tak dapat pergi sebab ada urusan lain pagi ni. Aku dapat hantar kau sampai stesen bas saja. Tak apa ke?” Kak Ma’wa serba salah. Sedikit sebanyak dia bersimpati juga dengan kehilangan yang dialami Nuha.

Diseka air mata yang jatuh sebelum dicapai telefonnya dari atas rak. Laju jemari Nuha menekan-nekan pad kekunci telefon, menghantar mesej kepada Ze Kai. Memberi khabaran berita yang baru saja diperolehnya.

Nuha buntu. Dikawalnya emosi apabila tersedar masalah yang bakal menimpa. Kak Ma’wa terkejut dengan responsnya seperti tiada apa-apa berlaku tidak lama selepas itu.

“Kau okey tak, Nuha?”

Senyum tawar dilempar.

“Okey, saya baru teringat. Saya tak pasti status pengislaman arwah dah didaftar atau belum. Saya bimbang akan ada perebutan jenazah dari pihak keluarganya. Ibu bapa arwah belum tahu lagi perihal keislaman arwah..”

Selepas mendapat balasan Ze Kai, Nuha seraya menghubungi Pengasas Hidayah Centre itu sendiri, meminta bantuan. Selepas diterangkan secara terperinci kepada Brother Firdaus itu, Nuha cepat-cepat menghubungi Ustaz Daud, cuba mendapatkan perkembangan terkini sebelum disampaikan semula berita kepada brother tadi.  Sedikit sukar apabila ada pihak yang tidak mahu memberikan kerjasama kepadanya; maklumlah Nuha itu pelajar awam sahaja. Mana mampu 'terbang' seiring dengan pelajar-pelajar kadet yang lain. 

‘Maaf, Rainnie.. I terpaksa mungkir janji kita. Demi kebaikan you juga.. ‘

Pagi itu, dia langsung lupa akan sarapan. Sehinggalah ayahnya Kak Ma’wa menegur. Nuha hilang selera. Selagi masalah ini belum sahih kepastiannya, selagi itulah dia sibuk menghubungi pegawai-pegawai atasan juga pihak-pihak yang terlibat. Namun dijamahkan juga karipap demi menjaga hati tuan rumah.

Syukur, respons pantas dari pihak Hidayah Centre sendiri berjaya mengelakkan kes perebutan jenazah itu berlaku. Sawal-awal lagi sudah mereka hubungi  cawangan Hidayah Centre kawasan Sibu, untuk cuba berbincang dan menenangkan keluarga arwah.

Nuha menarik nafas lega.

Walaupun mendapat tentangan hebat pada awalnya, akhirnya keluarga arwah dapat menerima keislamannya juga. Yang dipinta pihak Hidayah Centre cuma  arwah dikebumikan dengan cara Islam di perkuburan Islam. Tidak mengapalah jika mereka mahukan jenazah arwah dibawa balik ke Sibu pun, Nuha sendiri sudah tidak kisah. Keluarga arwah lagi berhak ke atas jenazahnya.

Kesibukan Nuha pagi itu sungguh-sungguh buat  Nuha lupa akan sakitnya kehilangan.

Nuha tiba di hospital. Dituruti saja kaki menapak sambil mata fokus membaca peta hospital. Sesekali dia bertanyakan arah kepada atendan hospital yang melintasi laluan.

Sesak bilik pengurusan jenazah dengan kehadiran pelajar-pelajar universitinya. Nuha menunggu di pintu masuk, tiada berhajat untuk cuba menembusi kesesakan itu. Dari jauh dia terpandang akan kelibat Kak Umi dan Kak Azrin. Laju dia mendapatkan mereka.

Kebetulan pada masa yang sama,jenazah arwah yang dikafankan diangkat keluar. Perlahan-lahan jenazah itu diusung merapati van. Tangan-tangan juga banyak dihulur, cuba menampung berat jenazah.

Nuha bertasbih. Bibir automatik melafazkan surah pembuka itu; kuat otaknya bekerja melakukan ‘damage control’; “tabahlah hati, jangan kamu menangis di sini !”

Sesaat saja, dia sudah dalam pelukan Kak Umi. Ditepuk-tepuk bahunya oleh Kak Azrin. Disalurkan mereka kata-kata semangat kepada Nuha. Dan Nuha, tanpa bersuara, hanya esakan yang kedengaran. Buat kedua kalinya.

Dari dalam van jenazah itu, Nuha terpandang akan ibu dan bapanya Rainnie. Juga adik lelakinya yang menghulurkan tangan mengusung naik jenazah ke dalam van. Nuha ingin merapati mereka. Dikuatkan kaki menapak tetapi gagal. Mungkin bukan masanya lagi, Nuha.. Fikirkan pandangan mereka terhadapmu andai mereka tahu kamulah antara pendorong anaknya yang seorang itu kembali kepada Islam. Akal menasihati. Nuha akur.

Harap akan sampai masanya nanti dia berdepan secara empat mata dengan keluarga itu.  
Juga di sebalik van itu, Nuha seakan-akan ternampak keliat Rainnie yang manis tersenyum kepadanya. Melambai-lambai. Rainnie.. Sebahagia itukah kamu meninggalkan aku?

Surat-surat cinta aku kepadamu baru separuh botol kaca, Rainnie.. Apa kamu tidak sudi menerimanya?

Dada terasa sesak kembali. Nuha mula melangkah jauh meninggalkan kawasan itu. Dia sudah tidak mampu bertahan. Dia tidak mengerti sebenarnya apa yang dirasa. Sedihkah? Atau gembirakah?

Entah.

Cuma dia yakin; gembiranya melangkaui rasa sedih.

Setidak-tidaknya, Rainnie pergi tanpa dosa.
Setidak-tidaknya, Rainnie pergi pada dinihari yang mulia.
Setidak-tidaknya, Rainnie pergi dengan impiannya sekian lama.

Demi Allah ! Dia gembira. Digenggam kemas nota kecil terakhir Rainnie kepadanya. Sejak detik Rainnie menyerahkan nota itu, dia tidak pernah meninggalkannya walau sekali. Dibawa sahaja ke sana ke mari menemani.

Rainnie, jangan lupa janji kita bertemu di syurga ya!


No comments:

Post a Comment