"my world inside is way more amazing than the outside. that's the reason i choose to write."

02 July 2014

CIKGU MONA



Kriiinggg!

        Deringan loceng menandakan waktu rehat telah bermula. Hingar suasana sekolah dengan jeritan dan kerenah murid-murid sudah pun lali pada pendengaran guru-guru. 

       “Kamu semua ni nak makan tak?” Cikgu Mona bertanya. Senyap seketika kelas 4 Mulia, satu-satunya kelas yang terdiri daripada pelajar lelaki semuanya.
        Satu-persatu wajah pelajar-pelajar itu dipandang, dan akhirnya terhenti pada wajah Azzam yang masih lagi fokus pada papan catur di hadapannya. Pelajar-pelajar itu mengiyakan, sudah lapar barangkali.

         Hari ini, Cikgu Mona mengajar mereka tentang Xiang Qi, atau lebih dikenali sebagai permainan catur cina. Cara dan peraturannya sama sahaja dengan catur biasa, cuma istilah dan rupa buah yang digunakan sahaja yang berbeza. Sambungan untuk subjek Bahasa Melayu bagi tema ‘Kenali Warisan Bangsa’.

         Sambil-sambil bermain catur, Cikgu Mona tidak lupa memberitahu dan menerangkan serba sedikit strategi-strategi dalam menumpaskan lawan. Katanya, matlamat utama permainan catur adalah untuk menumpaskan raja, bukannya anak-anak catur. Jadi tidak perlu taksub untuk ‘makan’ buah lawan, cukuplah sekadar untuk melemahkannya sahaja. Lagi pula, dengan menumpaskan raja sekaligus kerajaan lawan itu ‘musnah’.

         “Azzam, saya habiskan permainan ini ya?”

         Muka Azzam berkerut, seperti tidak setuju. Sejak tadi dia sebegitu, mencari cara untuk mengalahkan lawannya itu. Satu persatu di’makan’nya buah Cikgu Mona, tetapi cikgu muda itu hanya membiarkan. Malah dia tersenyum pula.

         “Kita rehat ya, Azzam. Kawan-kawan awak semua sudah lapar. Sambung lain kali ya..” Lembut bicara Cikgu Mona, cuba menjaga hati. Knight perlahan-lahan digerakkan mendekati raja. 

         “Checkmate! Muehehe.. Saya menang.” Spontan matanya dikenyit.

         “Dah, jom kita makan sama-sama.” Mendengarkan akan itu, laju Ruksyar, Haikal, Shahrol, Akim dan yang lain menuntuti Cikgu Mona di belakang. Baru sahaja beberapa langkah, Cikgu Mona berhenti. Betul-betul di hadapan tangga yang menghadap pintu masuk kelas 4 Mulia itu. Beliau berpaling.

         “Azzam mana?”

        “Sana, cikgu!” Danish mengarah telunjuknya pada Azzam yang masih lagi tidak berganjak dari mejanya.

         “Danish, tolong pergi tarik Azzam, boleh? Cakap kat dia saya nak belanja hari ni. Upah tolong bawa catur dari rumah.” Cikgu Mona tersenyum nipis. Berlari-lari si Danish mendekati Azzam. Guru muda itu perasan, sejak dia diamanahkan untuk memegang kelas paling hujung itu, anak muridnya yang seorang ini tidak pernah turun makan. Apabila ditanya, dia hanya menjawab perlahan, “Nak simpan duit, cikgu.”

        “Mana aci cikgu belanja Azzam saja…!” Haikal bersuara tiba-tiba. Yang lain turut bising sama, tanda protes. Cikgu Mona menjelir lidah, main-main.

         “Upah bagi pinjam catur lah…!”

         Sepanjang perjalanan menuju ke kantin, mereka riuh bercerita itu ini. Dari topik Optimus Prime lawan Megatron sampailah ke topik‘cikgu-balik-sekolah-nanti-saya-nak-tidur-sekejap’, semua mereka kongsi. Tidak kurang ada yang terpaksa meninggikan suara mereka hanya kerana ingin bersaing dengan rakan-rakan yang lain, tidak sabar-sabar untuk bercerita kepada guru Bahasa Melayunya itu. Padahal mereka baru sahaja berkenalan dua hari lepas, sejak Cikgu Mona menggantikan kelas untuk Penolong Kanan I sekolah tersebut. Lagaknya sudah seperti kenal lama!

          Cikgu Mona memesan fresh orange segelas. Dihulurkan pula wang kertas lima ringgit kepada mak cik kantin itu.

          “Mak cik, tolong kira sekali nasi yang budak ni punya ya!” Beliau senyum. Azzam kekal berdiri di sebelahnya, manakala yang lain-lain sedang beratur untuk membelikan makanan mereka.


“Cikgu, sini!” 

          Dari jauh Ruksyar melambai-lambai tangannya. Cikgu Mona menapak ke arah mereka. Kerusi kayu biru muda itu ditarik sebelum beliau melabuhkan punggungnya.

          “Pilih dua orang antara kalian, datang duduk sebelah saya!” Guru muda itu seraya menepuk-nepuk kerusi di sebelah kiri dan kanannya. Kelapan-lapan pelajar tahun empat itu memandang sama sendiri, sambil menuding-nuding jari. Mungkin mereka segan untuk makan di sebelah guru, memandangkan kebiasaan guru-guru makan di bilik yang sudah pun ditempatkan khas, tidak bercampur dengan para pelajar. Perlahan-lahan Ruksyar dan Iyadh bangun dan beralih tempat ke sebelah Cikgu Mona.

         Selepas membaca doa, mereka mula makan. Meriah suasana yang sesekala diselangi lawak dan gurau daripada pelajar-pelajar itu.

          “Petang-petang biasanya kamu semua buat apa?” tanya cikgu itu.

           “Main bola, cikgu!” Akim mendahului. Bersungguh-sungguh dia jawab sehinggakan tidak sempat untuk menelan kesemua nasi di dalam mulutnya itu. Cikgu Mona tergelak.

           “Lagi?”

           “Kan tadi saya dah beritahu cikgu balik rumah nanti saya nak tidur!” Haikal pula menjawab, sambil tangannya menyuap nasi ke mulut.

           “Kamu pula, Azzam?” Pandangan menala tepat pada budak lelaki berbaju merah-maroon yang diam sejak tadi. Baju seragam pengawas pusat sumber.

            Azzam bukanlah seorang yang pendiam sebenarnya. Dia cuma malas untuk bersaing dengan rakan-rakannya yang lain yang sentiasa cuba untuk mendapatkan perhatian daripada guru baru itu. ‘Buat hilang suara je cikgu, sama-sama asyik berteriak, berebut nak cerita itu ini,’Itu jawapan yang pernah dilontarkan Azzam ketika ditanya mengapa dia tidak aktif seperti kawan-kawannya yang lain. Azzam itu, dia hanya akan bercerita macam-macam apabila mereka berdua sahaja.

            “Kerja, cikgu.” Pendek Azzam jawab, dan kembali menghadap nasinya semula.

            “Huh? Kerja apa..?” Suapan nasi terhenti separuh jalan. Matanya tertancap pada wajah pelajar yang berkulit cerah itu. Terkejut dengan jawapan yang diberikan.

             “Tolong mak cik ayam golek jual kat tepi jalan sana, kadang-kadang tolong jual kuih juga.” Azzam memberitahu, malu-malu. Cikgu Mona masih lagi kaku.

              “Cikgu! Saya pun kerja, tolong basuh pinggan-mangkuk kat Kedai Makan Pak Cik Mustafa kat Pinang Merah nu ha.. Habis kerja pukul 12 malam, cikgu!” Shahrul, pelajar berkulit hitam manis itu senyum.

               “Allah. Habis tu kerja sekolah awak siap tak, Shahrul?”

               “Siap! Balik sekolah saya terus buat. Kan Azzam? Kita selalu buat kerja sekolah sama-sama kan...! Cikgu nak tahu, saya mula kawan dengan Azzam sejak tadika lagi..” Berlagu nada Shahrul bercerita. Senyum di pinggir bibir guru bertudung biru masih tak lekang.

               “Cikgu Mona! Saya pernah kerja dengan pak cik tukang rumah, tolong dia ikat bata ke gaul simen ke...” Tu suara ‘Iyadh Hassan yang duduk di sebelah kanannya.

               “Eleh... aku pun kerja jugak! Siap tolong baiki atap rumah lagi!” Haikal mendabik dada. Iyadh membuat muka, mengejek.

              “Saya pun cikgu! Saya kerja..”

               “Cikgu, saya nak kerja...”

               “Besar nanti saya nak jadi...”

             Hah, dah mula dah.. dah mula dah.. seorang bercerita semua nak bercerita. Pening Cikgu Mona dibuat mereka. Tidak tahu ingin mendengar cerita siapa dahulu.

           “Haip! Cepat-cepat makan.. Ada sepuluh minit lagi ni sebelum loceng berbunyi,” Pantas Cikgu Mona mencelah di tengah-tengah riuh bicara.Budak-budak ni makin dilayan makin suka. Nasi di pinggan pun tak habis lagi tu. Cikgu Mona perasan sesuatu.

            “Eh, kamu semua tak beli air?”

            Mereka sengih. Lantas air fresh orange yang dipesan tadi dihulur. Memberi syarat untuk mereka minum. Mereka sengih lagi.

             “Kenapa?” Soalan dibiarkan tidak berjawab. Lama baru Cikgu Mona faham.

             “Siapa yang nak minum, pergi minta straw dengan mak cik kantin!” Berlari-lari Shahrul, Haikal dan Akim mengikut arahan. Berlari-lari juga mereka apabila sampai ke tempat duduk mereka tadi. Mereka bernafas mengah.

              “Amboi! Ambil straw seorang satu!” Cikgu Mona tergelak. Budak-budak ni la.. Straw-straw itu dicucuk ke dalam gelas. Berebut pelajar-pelajar lelaki itu minum, sambil mengecap-ngecap bibir.

              “Wah... bestnya air cikgu!” Haikal memuji. Cikgu Mona gelak lagi. Air di dalam gelas itu sekejap saja tinggal suku.

              “Kamu semua habiskanlah. Saya pesan yang lain nanti.”

             “Cikgu minumlah yang ni,” Akim berkata serba salah.

              “Rileks la.. tu air free. Mak cik kantin belanja makan saya hari ni, sebab saya cikgu baru.” Cikgu Mona menambah. Tanpa berfikir dua kali, mereka menyerbu ke arah gelas tinggi oren itu semula.Tergeleng-geleng Cikgu Mona tanpa sedar.

             Di sebalik keceriaan, rupa-rupanya kanak-kanak itu ada kisah perit mereka sendiri. Mungkin mereka masih belum mengerti akan keperitan itu, tapi dari mata seorang guru pengorbanan mereka itu bukanlah calang-calang. Bekerja pada umur sepuluh tahun! Padahal mereka masih anak-anak lagi!

            Manakan boleh nak tumpukan pelajaran sepenuhnya jika mereka berkeadaan begini. Mereka semua pandai-pandai sebenarnya, mudah dengar kata pula. Kanak-kanak sekecil itu, adalah berat untuk mereka menggalas kedua-dua beban sebesar itu sekaligus. Beban belajar dan bekerja. Mereka bukan robot yang sudah pun diprogramkan.

           Sekurang-kurangnya mereka sedar dan faham, ibu bapa mereka tidaklah sesenang ibu bapa pelajar-pelajar lain, Mona...

           Cikgu Mona sebak tiba-tiba. Namun beliau sembunyikan rasa panas di tubir mata dengan senyuman yang makin mekar di bibir.

            Lumrah kanak-kanak perangainya nakal dan degil. Lagi-lagi yang lelaki. Tetapi jika kena pada caranya, kanak-kanak sebegitulah yang mudah untuk dilenturkan. Ibarat kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya.’

            Sebagai seorang guru, tidak kiralah sebanyak mana pun pengalaman mengajar yang ada,  dia masih lagi dikira gagal jika dia tidak cuba untuk mendekati pelajar-pelajarnya. Seorang guru itu tugasnya bukan hanya mengajar apabila waktu kelas sudah tiba. Tetapi amanah seorang guru itu juga tergalas untuk mendidik peribadi dan sikap-sikap positif kepada para pelajarnya. Terngiang-ngiang pesan Cikgu Normawati, gurunya ketika di sekolah rendah suatu tika dahulu. Cikgu Mona melepaskan nafas perlahan. Kini baru beliau faham betul-betul maksud kata-kata gurunya itu.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Dedikasi ingatan : Murid-murid Tahun 4, SK Kampung Nyiur.

No comments:

Post a Comment