"my world inside is way more amazing than the outside. that's the reason i choose to write."

22 July 2014

KERIKIL HATI



        Afterlife berdentum di telinga. Butang kanan MP3 ditekan hingga ke tahap maksimum, memasang nada yang paling tinggi. Pekak sekejap telinganya, namun Afifah membiarkan. Sedaya upaya dicubanya untuk menenggelamkan ‘suara latar’ dari luar bilik. Sungguh, dia sudah penat menelan kebisingan yang dicipta itu.

            “Sikit-sikit nak mengamuk! Sikit-sikit nak mengamuk.
Depan rezeki ni nak bising apa lagi! Orang dah nak azan Maghrib dah tu!” Suara sang ayah naik satu oktaf. Sama tinggi dengan suara sang emak yang sedang memarahi adiknya Halim yang tidak peka akan arahan.

          “Halim ni, orang suruh pecahkan ais dari tadi! Tak buat-buat lagi, padahal dah nak berbuka dah pun!” Mak membalas. Suaranya naik satu oktaf juga. Melepaskan geram akan perangai si Halim yang banyak mengelamun itu.

        “Habis tu, kamu tak boleh cakap elok-elok ke?! Aku balik kerja penat-penat, duit poket pun ada tak ada! Kamu pula buat perangai berteriak sana sini! Bosan aku dengar tahu tak! Baik aku ceraikan je!”

           Seperti halilintar membelah bumi. Sunyi keadaan di meja makan itu tiba-tiba. Sang ayah melafazkan cerai secara tidak sengaja. Tidak lama kedengaran kerusi dari meja makan ditolak, diikuti rentak kaki sang ayah berjalan. Rumah berlantai kayu itu, jika berjalan perlahan pun gegarannya sudah terasa.Apatah lagi apabila kaki sang ayah itu menapak gopoh menjauhi ruang dapur.

          “Apa yang terjadi, Kak Andak?” Fatimah yang sejak tadi ralit membaca novel di ruang tamu menjengah ke dalam bilik. Kelihatan kakaknya sedang terbaring dengan headphone masih lekat di telinga. Tangan kirinya menutup muka, menahan silauan lampu kalimantan. Kosong tanpa perasaan.

           “Entah, dengar macam dah cerai je dua orang tu.”

         Fatimah terjeda. Riak wajah kakaknya itu sukar dibaca. Dia seakan tidak percaya, namun semuanya sudah terlambat. Lafaz cerai bukan boleh dibawa main.

        “Kak Andak dah buka puasa belum?” Fatimah bertanya, prihatin. Cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.

          “Dah.” Afifah menunjukkan sisa plastik roti dan kotak air teh Krisantimum yang telah kosong di dalam bakul sampah, hujung kakinya sahaja. Fatimah faham, kakaknya itu ingin bersendirian. Dia menutup pintu bilik perlahan sebelum menapak ke dapur, mendekati sang emak yang sudah pun bengkak matanya.

          Ramadhan kali ini tidak semeriah Ramadhan tahun lepas. Mungkin kerana faktor kewangan sang ayah yang makin mencengkam, membuatkan baran beliau sentiasa dilepaskan tidak kira masa. Sampai pernah ketika, bekalan makanan di dapur sudah pun habis. Menambahkan lagi beban sang ayah untuk menyara hidup sang emak dan empat orang lagi anak-anaknya. Mujurlah anak lelaki yang paling sulung itu membuat keputusan menemani ibu mertua sang ayah di Kedah. Sekurang-kurangnya jumlah perbelanjaan rumah dapat dikurangkan buat seketika.

           Ramadhan kali ini juga sememangnya tidak semeriah Ramadhan tahun lepas. Lihat sahaja apa yang terjadi sebentar tadi. Ku kira, Ramadhan terakhir itu sedikit sebanyak membawa berkat dan bahagia memandangkan masuknya azan Maghrib tadi menandakan sudah masuk 1 Syawal. Hari Raya Aidilfitri.

          Afifah mengeluh panjang. Dia bangun malas mendekati tingkap bilik. Cermat sekali dia membukanya, cuba untuk tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Dari luar tingkap, kelihatan anak-anak kecil sedang bersuka ria bermain bunga api, diterangi meriah api pelita di sekitar laman-laman rumah mereka. Ibu bapa mereka pula tidak lepas mengawasi dari atas beranda rumah. Tingkap bilik Afifah menghadap ke bahagian belakang rumah,di mana-mana menampakkan rumah-rumah jiran yang pada masa sama, saudara-mara keluarganya juga. Adat mereka tinggal di kampung, begitulah.

           Headphone dilurut ke pangkal leher, dibiarkan tergantung. Namun gema muzik dari alatan itu masih lagi jelas kedengaran. Entah berapa kali sudah suara M.Shadows dan Zacky Vengeance diulang. Alunan ganas gitar dari Synyster, Zacky dan Johnny juga dram dari Arin IIejay itu indah sekali pada pendengaran. Sedikit sebanyak serabut di kepala terusir.

        Sesekali angin malam menghembus memasuki celah-celah lantai kayu dan ruang tingkap. Afifah memeluk tubuh, cuba mengurangkan rasa dingin. Berat terasa di pundak. Dia mengeluh lagi. Dua hari lepas, dia lari dari rumah. Mencari ketenangan yang jarang-jarang diperoleh. Semuanya kerana sang ayah. Krisis mereka anak-beranak tidak pernah habis, sejak Afifah berumur lapan tahun lagi. Dan subuh tadi barulah nampak batang hidungnya dalam rumah itu, kebetulan sang emak secara tidak sengaja membuka pintu bilik untuk mengutip pakaian kotor jika ada.

         Sang ayah tak habis-habis ingin mengongkong hidupnya. Dia bukannya budak sekolah rendah lagi. Umurnya sudah mencecah lapan belas tahun! Namun sang ayah tidak pernah mengerti.

                                                                   *****

Dua hari lepas..

            “Nanti lepas raya usahlah kamu sambung belajar. Duduk di rumah saja. Sudah ada yang mahu meminangmu,” Sang ayah berkata sambil menghembuskan asap rokok ke udara. Spontan Afifah menutup hidungnya. Dia sememangnya pantang dengan perokok, walaupun ayah kandungnya sendiri.

            “Tak nak.” Afifah protes, nekad.

            Tidak semena sisa puntung rokok itu dilempar pada Afifah. Pantas Afifah mengelak. Dan tidak semena juga barannya naik tiba-tiba.

            “Ayah tak ada hak nak atur hidup saya!” Pasu bunga disebelah dihempas. Pecah berderai ke lantai. Afifah menghentak-hentak kaki, mencapai tudung dan sweater yang tersangkut di tiang seri rumah, sebelum kakinya menuruni tangga, bergegas menyarung selipar sebelum hilang dalam pekat malam.

            Sejak itu, kelibatnya langsung tidak kelihatan di rumah. Namun sang ayah tidak pula mencari.

                                                             *****

And when I think of all the places I just don’t belong
I’ve come to grips with life and realize this is going too far
I don’t belong here, we gotta move on dear, escape from this afterlife
Cause this time I’m right to move on and on, far away from me

              Bibir mengikut rentak lirik muzik. Sesak di dada masih tidak dapat dikurangkan. Dia sakit hati. Ayahnya itu suka sungguh mengatur hidup anak-anak, suka sungguh menyakiti hati sang emak!

              Jauh dari sudut hati, dia langsung tidak kisah jika sang ayah menceraikan sang emak sekali pun. Pernah suatu ketika Afifah meluahkan sendiri kepada sang emak;

             “ Andak tahu kalau ikutkan hati mak nak je bercerai dengan ayah. Tapi mak bertahan hanya sebab Adik, kan?”Pandangan jatuh ke wajah adik bongsu yang berusia tiga tahun itu. Pulas sekali tidurnya.

            Sang emak hanya membisu. Menggeleng tidak, mengangguk pun tidak. Namun dia mengerti, perit yang ditanggung hanya diri yang mengalami saja tahu. Sang ayah itu, semakin hari perangainya semakin teruk. Perengus tidak kira masa. Setiap apa yang sang emak buat semua salah di matanya. Katanya sang emak tidak bersyukur dengan rezeki yang ada. Katanya sang emak selalu sahaja mengungkit jika tidak diberikan apa-apa. Manakan tidak, hasrat hati ingin berbini dua, bini yang pertamanya ini pun masih belum cukup diberikan nafkah!

             Apabila Afifah membela sang emak, tahu pula sang ayah mengamuk. Siap menuding jari menyalahkan sang emak, yang berhenti kerja semata-mata ingin menjaga dan membesarkan anak-anaknya sendiri tanpa campur tangan orang lain. Lebih-lebih lagi memandangkan gaji bulanan sang emak sebagai kerani lebih besar berbanding sang ayah yang cuma buruh biasa.

             “ Andak sendiri takkan teragak-agak minta ayah ceraikan mak depan mata Andak jika ayah ungkit balik pasal nak bernikah dua tiga ni! Selagi ayah tak dapat nak bagi nafkah yang cukup kat mak, jangan harap!” Tegas Afifah berkata malam itu. Ayahnya itu perlu disedarkan. Beliau sudah menganiaya sang emak, melayan emak seperti orang gaji  rumah itu sahaja. Tidak, seperti kuli. Setidak-tidaknya orang gaji masih lagi diberi gaji oleh majikannya.

Nafas berat dilepaskan berkali-kali. Cuba menahan beban di dada. Sungguh, suasana malam 1 Syawal yang menyelubungi keluarga itu tidak seindah insan-insan yang lain. Emak sejak berbuka puasa tadi langsung tidak keluar bilik. Menangis lagi barangkali.

             Abang sulungnya di Kedah perlu tahu, tapi biarlah Fatimah saja yang mengkhabarkan. Sedikit sebanyak sebak di dada bertandang juga. Sedikit sebanyak terasa juga perceraian antara ayah dan emak itu berpunca dari dirinya.

             ‘Kalau apa-apa yang terjadi dalam keluarga kita, semua salah kau! Keras kepala tak boleh diajar! Pergi matilah! Menyusahkan orang saja!’

            Terbayang-bayang mesej herdikan dari Fatimah ketika dia lari meninggalkan rumah dua hari lepas. Tertekan kerana kakaknya yang seorang ini suka sungguh menambah masalah di tengah-tengah kemelut melanda. Ketika itu, hubungan sang ayah dan sang emak sudah pun seperti retak menanti belah, bagai telur di hujung tanduk. Bila-bila masa saja boleh pecah berderai.

             ‘Ayah kau selalu marah aku sebab kau lah! Kau punca hidup aku tak tenang! Aku tak ada anak derhaka macam kau ni! Menyusahkan!’

             Terngiang-ngiang pula kata-kata kasar sang emak tidak lama dahulu. Bila mana Afifah bergaduh lagi dengan sang ayah sehingga membabitkan sang emak buat kesekian kali.

             Dinding kayu bilik itu ditumbuk kuat. Bergegar sekejap dinding nipis yang memisahkan biliknya dan bilik Halim itu. Afifah tahu emaknya ada di bilik Halim, sengaja dia buat tidak mengerti. Sang ayah sudah pun lesap entah ke mana dengan motor kapcainya. Yang pasti bukan ke surau atau masjid.

             Mungkin kerana itu familinya tidak pernah tenang. Kerana tiada sakinah, tiada mawaddah. Barangkali kerana rahmat Allah tidak sampai kepada mereka. Ya lah, solat pun celam-celup. Buat ketika rajin, ketika malas ditinggalkan. Bersahabat dengan Al-Quran lagilah tak. Al-Quran di rumah itu, fungsinya hanyalah hiasan dalam almari cantik berukiran kayu di ruang tamu itu sahaja.

            Afifah menapak perlahan keluar dari bilik, menuju ke arah dapur rumah. Sejak dia pulang ke rumah, dia sengaja berkurung di dalam bilik sempit itu. Melancarkan mogok. Perlahan-lahan dia menuruni anak tangga, mendekati pili air. Bunyi keriut yang terhasil dari lantai kayu itu tidak diendahkan.

             Pili air dibuka. Dia mula menadah tangan.

                                               

Sejadah ungu bersulam corak fauna dihampar di sebelah tilam nipis tiduran malam, menghadap kiblat. Telekung hitam yang elok terlipat dicapai dari rak pakaian, disarungkannya ke tubuh. Sudah lama dia tidak sebegitu. Rasa tenang terus meresap ke seluruh jiwa. Afifahmula mengangkat takbir.

             Sujud terakhir. Dia diam lama. Ingin menceritakan segalanya kepada Tuhan Yang Maha Pengasih, namun satu ayat pun tidak dapat dicipta melalui kata hati. Kaku. Sedar tidak sedar air matanya sudah pun basah di hamparan sejadah. Lantas dia bangun mengerjakan tahiyat terakhir berserta salam. Usai salam, dia sujud lagi. Mengulang kembali perlakuannya ketika di sujud terakhir.

              “Ya Allah.. Sungguh aku gah di dunia-Mu, tetapi aku hina dan lemah di mataMu. Banyaknya dosaku masih tidak dapat mengalahkan besarnya rahmatMu kepadaku. Beratnya ujian-Mu membuktikan rasa kasih dan sayang-Mu kepadaku. Namun aku masih lagi alpa kepada-Mu. Dengan rahmat-Mu Tuhan, ampuni aku, kuatkanlah hatiku..” Afifah berbisik dalam sendu.

               Sangkanya tadi, bingit lagu dari Avenged Sevenfold itu mampu memberinya tenang, namun dia sama sekali silap. Lumrah manusia, tenangnya ditemui dalam rasa bertuhan. Itulah yang dirasakan Afifah kini. Tenang, setelah sekian lama tidak mengecapinya.

              Kini barulah dia sedar. Seteruk mana pun hidupnya, sekejam mana pun dunia ini cuba ‘menghancurkannya’, sedahsyat mana pun tekanan jiwa yang dihadapinya, Allah tetap ada. Allah tidak pernah meninggalkannya. Hanya dia yang sering lupa kepadaNya.

              Baiknya Allah, masih lagi menerima dirinya yang sememangnya tidak kalih dari dosa. Baiknya Allah juga, tidak pernah memandang rendah kepada dirinya. Dia yakin akan itu. Hakikatnya, itulah salah satu daripada sifat-sifat Allah. Yang Maha Mengasihani!

‘... boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.’ –AlBaqarah; ayat 216.

‘Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya...’ -AlBaqarah; ayat 286.  


No comments:

Post a Comment